Oleh WITER GUNIK
HIDUP ini adalah kalungan rosario dan peristiwa-peristiwanya adalah manik-maniknya. Terutama jika hendak dicari perkaitannya dengan engkau, ada nilai dan makna bagi setiap peristiwa dalam lingkaran hidupku di sana. Tidak ada yang dapat dibelakangi begitu sahaja. Bukannya aku tidak menyedari betapa lembaran hari semalamku di Art Academy, Tokyo Municipal Art Museum di Ueno Park, tempat aku berada untuk jangka masa kira-kira dua setengah tahun sebagai seorang pelajar itu, seharusnya kuhalang daripada diselak kembali oleh getar jemari ingatanku. Masa lalu, dapatkah dimakamkan? Aku ragu.
“Konban yushoku o tabeni dekakemasen ka?”
Aku sedang duduk di Restoran Kinabalu, berhampiran dengan Ranau Mini Theatre, salah sebuah kawasan tumpuan orang-orang muda pada hujung minggu di daerah ‘kobis’ ini. Di luar dan diselimuti lebar benderang lampu di sana sini, bertentangan dengan Restoran Kinabalu ini dan hanya dipisahkan oleh sebatang lorong kecil, adalah sebuah kedai gambar yang sudah pun ditutup. Ditandai oleh cahaya lampu samar dari dalam lewat cermin, hanya Klinik Dr. Stanley Chong yang letaknya di blok bangunan yang sama dengan kedai gambar itu yang masih hidup. Masih adakah pesakit yang dilayani? Hujan lebat begini, blok bangunan itu secara keseluruhan tidak ubah seperti kotak raksasa ganjil yang ditabiri oleh tali temali hujan yang berderap jatuh timpa menimpa pada atap bangunan, pada lorong, pada bumi pekan kecil ini. Manusia-manusianya, adakah seperti aku yang membiarkan diri dipeluk lembut kenangan?
“Dia steady girlfriend kamu, kan?”
Di sini, kataku kepadamu Yenko, berlaku serius adalah sukar. Semuanya akan berbeza setelah tempoh berada di sini, di Art Academy ini, tamat. Menjaga jarak? Barangkali itulah yang kulakukan meskipun perlu aku akui hal itu tidak sepenuhnya dapat aku lakukan. Dikejar perasaan bersalah dek kesilapan-kesilapan muda lantaran gagal mengendalikan jarak diri hanya kerana relasi yang sifatnya sementara itu tentunya bukan sebuah hidup yang menggembirakan. Hidup ini rapuh. Pernahkah engkau mendengar ungkapan itu, Yenko Witowoshito-san?
Alur pemikiranmu, seperti itukah Yenko? Itu pernah kutanyakan kepada diriku sendiri. Lincah, barangkali itu istilah yang dapat kuberi bagi menggambarkanmu. Sebagai seorang gaijin, aku cukup senang bersamamu di kotamu meskipun harus juga kuakui aku adakalanya berasa jengkel dengan keagresifanmu itu. Maaf kerana aku pernah berfikir bahawa keagresifan Yenko itu adalah suatu yang dibuat-buat dan tidak asli. Aku bahkan pernah memarahi Yenko atas tingkah Yenko yang seakan tidak tahu menghargai dan tidak mempedulikan fitrah Yenko sebagai seorang wanita. Berpenampilan ‘tomboy’ itu tidak bermakna Yenko mesti berperangai seperti seorang laki-laki. Tidakkah bagi seorang perempuan, womanly modesty itu adalah yang terbaik? Sesungguhnya, keagresifan yang adakalanya kebudak-budakan itu dapat Yenko kendalikan dan bentuk ke arah peribadi yang lebih sederhana dan matang apatah lagi sebagai seorang perempuan yang berusia dua puluh satu tahun ke atas.
“Matamu – “
“Like Garfield’s.”
“Mata Yenko mata Doraemon!"
Aduh! Hantu kartun mana yang merasuk kita? Aura kecengengan itukah yang menimbulkan kelucuan itu? Ketawa kitakah yang bersipongang mengisi kolongan remang kota Tokyo itu? Tengoklah wahai alam: Garfieldmu dan Doraemonmu saling merapatkan tubuh berkongsi sekaki payung biru menghindari tikaman dingin jarum hujan langit Jepun. Berpadu hangat itu, adakah desah nafasmu dan nafasku?
Menghadapi kelincahanmu, aku cair. Apakah hangat nafasmu itu yang mengubah kebekuan itu, Yenko Witowoshito-san? Sungguh aku takut aku telah menjadi salah seorang adaripada manusia berfaham New Morality yang lemas dalam debar permissive society Tokyo. Takut kehilangan self-control oleh terjangan culture shock. Nilai apakah yang paling penting dalam hidup? Aku takut aku dihakimi kata-kataku sendiri dahulu: Percuma kita hidup apabila kita kehilangan arah, erti dan pegangan hidup. Engkau tahu pendapat rakan senegaraku, Bon, Larry dan Boi, tentang aku? Mereka mengatakan bahawa aku banyak berubah. Berubah dan berubah. Bukan sekali pula pendapat ikhlas dan jujur itu membuat aku termenung memikirkan ketepatannya. Serentak itu dipulas oleh pengap dan biru kotamu yang dengan penuh liar, kau dan aku, selami hingga ke dasar-dasarnya.
Ah, saat-saat itu Yenko Witowoshito-san, di manakah kita telah cicirkan? Adakah di reranting pokok willow? Atau apakah pada putih bunga sanzaka? Atau adakah kita hanyutkan di Sungai Tenry? Sungai Sinano? Sungai Simuda? Atau, mungkinkah kita biarkan saat-saat itu digilis dan terkubur dek pijakan kaki-kaki hujan semasa Honsu dikunjungi Angin Monsun Tenggara? Atau, adakah semua itu telah kubawa kembali ke daerahku ini lalu kulontar di Sungai Liwagu namun dek panggilan-panggilan masa lalu, kini, kupancing semula dengan bebenang perasaanku? Kilasan-kilasan ingatan terhadapmu di sini mencambahkan mimpi manis: Wujud mekar sakura tertanam di halaman kediamanku dengan aku sebagai pelindungnya. Gelodak sepi, mestikah melumpurkan rindu?
Absence makes the heart grow fonder. Celaka kau Cupid! Begini tega kaupanah aku dengan busur ajaibmu! Tengoklah Cupid! Tengoklah! Angkaramu, aku kini menjadi Odysseus yang resah tiba-tiba oleh Nausicaa Jepun: Yenko Witowoshito-san. Yenko, dalam kesibukanku di daerahku ini, sungguh, kadang-kadang aku mengharapkan engkau ada bersamaku sebagai pencetus motivasi: “Engkau dapat melakukan tugasanmu di tanah kelahiranmu itu dengan baik, bahkan dengan lebih baik dan lebih baik lagi....”
Barangkali aku boleh meminta kau datang ke negaraku, Malaysia. Berkunjunglah ke negeriku, Negeri di Bawah Bayu. Aku akan pimpin kau mendaki Gunung Kinabalu. Kau akan berasa bangga dapat menguasai puncak yang paling tinggi di Asia Tenggara ini. Atau, aku dapat membawa kau ke Poring Hot Spring. Engkau tahukah Yenko bahawa tempat itu dibuka oleh bangsamu pada zaman Perang Dunia Kedua? Atau, lebih sukakah engkau jika kau kubawa ke Pulau Manukan, ke Pulau Mamutik, ke Pulu Sapi? Dan, aha! Bulan apakah sekarang? Mei! Bulan Mei ialah bulan yang ditunggu-tunggu oleh masyarakat negeri ini, khususnya oleh orang-orang Kadazandusun. Apa yang istimewa dengan bulan Mei?
Pesta Kaamatan. Pernahkah kau mendengar nama pesta itu? Kita dapat mengunjungi pesta ini dan menyaksikan sendiri bagaimana penduduk di sini meraikannya. Mungkin kau akan terpesona dengan pangkis Bobolian semasa acara magavau. Barangkali juga tersenyum membalas senyum Unduk Ngadau dalam acara kemuncak pesta ini: Pertandingan Ratu Cantik. Ah, seandainya saja engkau bumiputera di sini, sudah pasti engkau boleh ikut serta dalam pertandingan tersebut! Juga, engkau boleh kuajari lambai gemalai menari sumazau. Kita boleh menari bersama. Tidak dapat tidak, tarian itu sedikit sebanyak pasti akan mengingatkan engkau pada kabuki, bangsawan tradisional bangsamu yang bersama kita hayati di Ginza. Masih belum lupakah engkau akan rasa hairanku kala aku engkau beritahu bahawa penari kabuki yang kusangkakan kesemuanya perempuan itu sebenarnya adalah lelaki?
Juga, aku akan ajar kau memakan kinawa. Kau pasti berasa hairan kerana bangsaku turut mempunyai makanan tradisi daripada ikan mentah. Bagaimanapun, jika kau masih ingat, sebetulnya aku ada menceritakan kepadamu tentang kinawa ini semasa kita sedang menikmati sashimi daripada ikura di salah sebuah restoran di negaramu dulu. Apakah perkataan ‘oisidess’ akan terlafaz daripada bibir merahmu? Dan, ya, ada banyak lagi yang ingin aku hidangkan untukmu: tuhau, bosou, lomiding, bambangan.
Yenko Witowoshito-san, hampir enam ribu kilometer kutinggalkan kau. Aku akan merindui Hibiya, Yurakucho, Ginza, Nihombashi, Tsukiji yang membentuk kotamu, Tokyo! Aku akan merindui meriah jalan-jalan daerah Kanto di Tama Daruma pada setiap hari Ahad, melihat boneka daruma yang dijual di situ. Katamu, boneka daruma yang merah itu adalah lambang kebahagiaan dan good fortune. Dan ya, terlebih daripada itu, aku akan sangat merindui engkau! Engkau, Yenko Witowoshito-san! Oleh itu, tidakkah sebaiknya engkau datang? Atau, akukah yang mesti melangsaikan rindu ini dengan berangkat ke tempatmu yang kaunamakan Garden of Peace itu? Pada fikiranku, jika pada saat ini ada orang yang menyoal kepada siapa kuntum tulip tiga tangkai akan kuhulurkan, aku akan mengatakan kuntuman itu akan kuberi kepada seorang gadis Jepun bernama Yenko Witowoshito-san. Pada selirat rambut hitammu, tulip-tulip itu akan kusematkan. Ah, rambutmu: masihkah sependek rambut laki-laki sebagaimana pada saat kau kutinggalkan? Ingatkah pula engkau akan hasratku melihat kau berambut panjang? Kau kisahkan kepadaku, ibumu pernah tidak memberikan wang saku kepadamu pada pertama kali rambutmu itu kaugunting sependek itu.
Aku berdiri, memetik jari, memanggil pelayan.
Gadis kecil berbibir basah, akan bertemu lagikah kita? Langadon oku dika. Aku ulangi: Langadon oku dika!
(Pertama kali disiarkan dalam Borneo Mail, 21 Mei 1995; DBP di Surat Khabar)
Glosari:
Konban yushoku o tabeni dekakemasen ka?- Bolehkah kita keluar makan bersama malam ini?
gaijin- orang asing
ikura-salmon roe
kabuki-sejenis pertunjukan tradisional Jepun (bangsawan-tarian)
Cupid-Dewa Asmara Romawi
Langadon oku dika- aku rindu kepadamu
Lihing- sejenis minuman keras hasil dari penapaian beras dalam jangka masa yang lama
Magavau - Salah satu bahagian penting penting dalam Pesta Kaamatan yang menjadi simbol kepada usaha mendapatkan semula yang telah hilang dengan segala kekuatan yang ada
Nausicaa - Watak dalam epik 'Odyssey' karya Homer
Odysseus - watak dalam epik 'Odyssey karya Homer
Oisidess - Sedap
Samisen - Alat muzik Jepun seperti gitar, bertali tiga
Sashimi - Ikan mentah yang dihiris halus
Sayonara - ucapan perpisahan; selamat tinggal
Trial marriage - perkahwinan percubaan
(c) WITER GUNIK
Tiada ulasan:
Catat Ulasan