Isnin, 25 Mei 2009

PENA MAGIS: PRAKATA UNTUK PARA PEMBACA

SAYA mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak akhbar Borneo Mail, majalah Dewan Sastera, Perpustakaan Negeri Sabah, Jawatan Kuasa Formula Malaysia, dan pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (Cawangan Sabah dan Kuala Lumpur) kerana terlibat dalam penerbitan pertama cerpen-cerpen dalam antologi maya ini. Dalam pengkaryaan saya sebenarnya bermula dengan bakat alam yang saya terokai dengan percubaan demi percubaan. Hanya semasa di UPM (1998-2001), saya sempat bertemu dan menimba ilmu daripada Pak Dharmawijaya, Hizairi Othman dan Lim Swee Tin. Apapun, saya bersyukur sebab saya amat yakin dan percaya, Sang Pencipta telah menentukan pada garis tangan saya bahawa saya memang penulis. 

    Antologi maya ini lebih kepada satu usaha mengumpulkan semula karya-karya lama saya sebagai satu pendokumentasian dan (barangkali) sebagai satu nostalgia indah tentang dunia seorang penulis. Sebagai kunang-kunang kerdil dalam ujana kesusasteraan, saya bukan seorang yang produktif berkarya namun saya berusaha supaya sentiasa berhati-hati dalam perkara yang saya tulis. Setiap perkataan dan tanda baca mempunyai 'roh' yang berbeza bagi saya. Saya sangat cerewet memilih perkataan dan barangkali sebab itu (serta disebabkan kekangan masa!) beberapa buah draf karya yang kononnya hampir siap, masih tersimpan begitu sahaja. 

    Mudah-mudahan Tuan-tuan, Puan-puan,  para pencinta sastera, rakan atau pelajar, akan lebih mengenal keresahan, kesunyian, kasar-halus pandangan peribadi dan buah fikiran saya lewat karya-karya ini. Bukan semua daripada cerpen dalam koleksi 'masa lalu' ini saya gemari; ada yang kalau saya baca dalam penilaian saya sebagai 'lelaki tua' kini, hanya menimbulkan perasaan geli. Romantik? Lucu! Dari satu segi, mudah-mudahan antologi maya ini saya harapkan dapat menyemarakkan kembali semangat saya untuk menulis. Benar, menyibak kabut kesibukan untuk menulis memang meletihkan dan penuh kesunyian namun aneh, keletihan dan penuh kesunyian itu berbaloi dengan deraan kegembiraan melihat aksara demi aksara menuju titik akhir dalam sesebuah karya. 

    Saya ingin katakan, daya kreativiti saya masih seperkasa dahulu, tidak pernah tumpul dan tepu. Percayalah, saya masih berjiwa penulis kerana urat sastera yang menjaringi diri saya tetap tegar dan segar. Benar, saya mungkin kunang-kunang kerdil dalam ujana kesusasteraan tanah air namun saya akan pastikan cahaya kecil yang saya miliki itu mampu menjadi suluh kemanusiaan kita. 

    Selamat membaca dan mendalami kemanusiaan.

Salam sastera,

WITER GUNIK

Post Scritum: Jika anda selesa dengan stail penulisan saya dan mahu membaca buah pena saya  yang lain, sila bersabar.... Saya dalam proses menaip karya-karya itu semula sebelum saya muat naik pada blog ini.  Perlu saya nyatakan di sini bahawa koleksi karya dalam blog ini hanyalah rekaan semata-mata. Sebarang persamaan nama tempat, atau nama watak, jika ada, hanya satu kebetulan. Terima kasih.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan