Isnin, 25 Mei 2009

YENKO WITOWOSHITO-SAN

Oleh WITER GUNIK

HIDUP ini adalah kalungan rosario dan peristiwa-peristiwanya adalah manik-maniknya. Terutama jika hendak dicari perkaitannya dengan engkau, ada nilai dan makna bagi setiap peristiwa dalam lingkaran hidupku di sana. Tidak ada yang dapat dibelakangi begitu sahaja. Bukannya aku tidak menyedari betapa lembaran hari semalamku di Art Academy, Tokyo Municipal Art Museum di Ueno Park, tempat aku berada untuk jangka masa kira-kira dua setengah tahun sebagai seorang pelajar itu, seharusnya kuhalang daripada diselak kembali oleh getar jemari ingatanku. Masa lalu, dapatkah dimakamkan? Aku ragu.  

    “Konban yushoku o tabeni dekakemasen ka?”

      Gurauan itu, adakah titik mulanya? Terima kasih untuk Kursus Intensif Bahasa Jepun kira-kira enam bulan sebelum berangkat ke negaramu. Huluran tangan, mengapa pijarmu menular ke sudut-sudut jantung? Bibir, mengapa kakumu kaubuang jauh-jauh? Dan lidah, mengapa demikian pintar menganyam bicara? Atau, adakah semua itu disebabkan kekerapan bertemu lewat keanggotaan dalam Music and Choir Association?

     Aku sedang duduk di Restoran Kinabalu, berhampiran dengan Ranau Mini Theatre, salah sebuah kawasan tumpuan orang-orang muda pada hujung minggu di daerah ‘kobis’ ini. Di luar dan diselimuti lebar benderang lampu di sana sini, bertentangan dengan Restoran Kinabalu ini dan hanya dipisahkan oleh sebatang lorong kecil, adalah sebuah kedai gambar yang sudah pun ditutup. Ditandai oleh cahaya lampu samar dari dalam lewat cermin, hanya Klinik Dr. Stanley Chong yang letaknya di blok bangunan yang sama dengan kedai gambar itu yang masih hidup. Masih adakah pesakit yang dilayani? Hujan lebat begini, blok bangunan itu secara keseluruhan tidak ubah seperti kotak raksasa ganjil yang ditabiri oleh tali temali hujan yang berderap jatuh timpa menimpa pada atap bangunan, pada lorong, pada bumi pekan kecil ini. Manusia-manusianya, adakah seperti aku yang membiarkan diri dipeluk lembut kenangan?

      Jam tujuh setengah sekarang ini. Tanpa mengambil kira sela waktu satu setengah jam antara negaramu dan negaraku, di manakah kita – semasa aku masih di sana – pada saat-saat seperti ini? Bukankah di Keno’s Cafetaria, kafetaria yang selalunya kita kunjungi untuk dinner? Pun, aku tidak pernah dapat melupai kebiasaanmu mengunyah ketulan air batu, berderak-derak seolah-olah yang ada di mulutmu itu ialah sejenis snek yang rangup amat. Meja yang berhampiran dengan kaunter itu, kosongkah? Atau, adakah pada detik ini, engkau yang ada di situ, Yenko? Mungkin engkau bertiga dengan Saeko dan Luluniwa sebagaimana yang kau khabarkan lewat layangan kad kepadaku.

      “Dia steady girlfriend kamu, kan?”

      Terluah kata-kata itu daripada bibir Chinoko Loyazaki-san, pemain piano bagi persatuan yang kita sertai. Asingkah pertanyaan itu? Beberapa orang rakan pernah menyuarakan hal yang sama. Aku menggelengkan kepala. Chinoko Loyazaki mengerutkan kening. Asingkah juga reaksi itu? Kilau matanya mengatakan: “Engkau mahu menidakkan keintiman antara kamu? Hubungan kamu? Kau dan Yenko?” Ah! Jawapan apakah yang kudengar daripada hatiku saat itu? Adakah “ya”? Bukankah jawapan “tidak” juga kudengar gemanya? Siapakah yang memahami?

      Di sini, kataku kepadamu Yenko, berlaku serius adalah sukar. Semuanya akan berbeza setelah tempoh berada di sini, di Art Academy ini, tamat. Menjaga jarak? Barangkali itulah yang kulakukan meskipun perlu aku akui hal itu tidak sepenuhnya dapat aku lakukan. Dikejar perasaan bersalah dek kesilapan-kesilapan muda lantaran gagal mengendalikan jarak diri hanya kerana relasi yang sifatnya sementara itu tentunya bukan sebuah hidup yang menggembirakan. Hidup ini rapuh. Pernahkah engkau mendengar ungkapan itu, Yenko Witowoshito-san?

      Masih ingatkah akan perbualan kita dengan Saeko-san? Perempuan yang berbadan ramping itu mengatakan bahawa dia tidak percaya dengan ikatan perkahwinan. Dia mengatakan bahawa perkahwinan itu adalah satu belenggu. Katanya lagi, apa gunanya ikatan itu jika tanpanya pun kita masih dapat hidup bersama? Aku tidak pernah ingin berbantah dengan sahabat kita itu tetapi aku pada masa itu memikirkan yang dunia kotamu sudah begitu jauh diseret West-Oriented. Adakah trial marriage yang dibicarakannya itu suatu yang lumrah di sini?

       Alur pemikiranmu, seperti itukah Yenko? Itu pernah kutanyakan kepada diriku sendiri. Lincah, barangkali itu istilah yang dapat kuberi bagi menggambarkanmu. Sebagai seorang gaijin, aku cukup senang bersamamu di kotamu meskipun harus juga kuakui aku adakalanya berasa jengkel dengan keagresifanmu itu. Maaf kerana aku pernah berfikir bahawa keagresifan Yenko itu adalah suatu yang dibuat-buat dan tidak asli. Aku bahkan pernah memarahi Yenko atas tingkah Yenko yang seakan tidak tahu menghargai dan tidak mempedulikan fitrah Yenko sebagai seorang wanita. Berpenampilan ‘tomboy’ itu tidak bermakna Yenko mesti berperangai seperti seorang laki-laki. Tidakkah bagi seorang perempuan, womanly modesty itu adalah yang terbaik? Sesungguhnya, keagresifan yang adakalanya kebudak-budakan itu dapat Yenko kendalikan dan bentuk ke arah peribadi yang lebih sederhana dan matang apatah lagi sebagai seorang perempuan yang berusia dua puluh satu tahun ke atas.

      Bagaimana pula dengan aku? Benarkah aku teguh dengan kemurnianku sebagai seorang laki-laki?

     “Matamu – “

      “Mataku?”

     “Like Garfield’s.”

     “Mata Yenko mata Doraemon!"

      Aduh! Hantu kartun mana yang merasuk kita? Aura kecengengan itukah yang menimbulkan kelucuan itu? Ketawa kitakah yang bersipongang mengisi kolongan remang kota Tokyo itu? Tengoklah wahai alam: Garfieldmu dan Doraemonmu saling merapatkan tubuh berkongsi sekaki payung biru menghindari tikaman dingin jarum hujan langit Jepun. Berpadu hangat itu, adakah desah nafasmu dan nafasku?

      Sememangnya engkau menyenangkan. “Engkau cinta kepadaku?” Soalanmu itu Yenko Witowoshito-san, mengapa menggoda? Hati, sunyikah yang memimpinku menggenggam pijar tangannya? Ketika kita berdua bebas daripada kuliah dan tutorial, ke manakah kita? Tidakkah hampir setiap hujung minggu itu kita basahi bersama? Ke mana? Ke Mito West City Library? Ke Shinjuku Complex? Ke Nichigeki Theatre? Atau ke - ? Jarak yang kupelihara kendalinya tak semena-mena terlepas; seperti kita yang kehilangan tali iman tempat berpaut. Begitupun, mengapa kegagalan mengendalikan jarak diri itu tidak berdaya kita tinggalkan?

      Menghadapi kelincahanmu, aku cair. Apakah hangat nafasmu itu yang mengubah kebekuan itu, Yenko Witowoshito-san? Sungguh aku takut aku telah menjadi salah seorang adaripada manusia berfaham New Morality yang lemas dalam debar permissive society Tokyo. Takut kehilangan self-control oleh terjangan culture shock. Nilai apakah yang paling penting dalam hidup? Aku takut aku dihakimi kata-kataku sendiri dahulu: Percuma kita hidup apabila kita kehilangan arah, erti dan pegangan hidup. Engkau tahu pendapat rakan senegaraku, Bon, Larry dan Boi, tentang aku? Mereka mengatakan bahawa aku banyak berubah. Berubah dan berubah. Bukan sekali pula pendapat ikhlas dan jujur itu membuat aku termenung memikirkan ketepatannya. Serentak itu dipulas oleh pengap dan biru kotamu yang dengan penuh liar, kau dan aku, selami hingga ke dasar-dasarnya.

       Jam lapan setengah sekarang. Aku di sini, engkau pula di mana? Semasa di sana, inilah detik bagi kita bangkit dari kerusi dan melangkah lambat-lambat meninggalkan Keno’s Cafetaria, bersama pulang menyusuri jalan kecil dalam gelisah lampu di kiri kanan jalan yang tersipu malu dilirik cahaya bulan. Masih ingat cerita-cerita yang kita ratah bersama? Cerita-cerita lucu? Juga, rahsia kelam masa lalumu yang katamu jika kauingat membuat sukar untuk kaupercaya kau berada di tempat kita menuntut itu.

     Ah, saat-saat itu Yenko Witowoshito-san, di manakah kita telah cicirkan? Adakah di reranting pokok willow? Atau apakah pada putih bunga sanzaka? Atau adakah kita hanyutkan di Sungai Tenry? Sungai Sinano? Sungai Simuda? Atau, mungkinkah kita biarkan saat-saat itu digilis dan terkubur dek pijakan kaki-kaki hujan semasa Honsu dikunjungi Angin Monsun Tenggara? Atau, adakah semua itu telah kubawa kembali ke daerahku ini lalu kulontar di Sungai Liwagu namun dek panggilan-panggilan masa lalu, kini, kupancing semula dengan bebenang perasaanku? Kilasan-kilasan ingatan terhadapmu di sini mencambahkan mimpi manis: Wujud mekar sakura tertanam di halaman kediamanku dengan aku sebagai pelindungnya. Gelodak sepi, mestikah melumpurkan rindu?

     Di luar restoran, tali temali hujan usai sudah. Di meja hadapan di sebelah kiriku, dua orang budak lelaki belasan tahun dengan topi masing-masing yang lidahnya songsang ke belakang, terburu-buru bangun selepas membayar harga makanan dan melangkah cepat-cepat meninggalkan restoran itu seolah-olah bimbang hujan turun lagi. Akan terus ke rumahkah atau singgah di amusement centre?  

      Absence makes the heart grow fonder. Celaka kau Cupid! Begini tega kaupanah aku dengan busur ajaibmu!  Tengoklah Cupid! Tengoklah! Angkaramu, aku kini menjadi Odysseus yang resah tiba-tiba oleh Nausicaa Jepun: Yenko Witowoshito-san. Yenko, dalam kesibukanku di daerahku ini, sungguh, kadang-kadang aku mengharapkan engkau ada bersamaku sebagai pencetus motivasi: “Engkau dapat melakukan tugasanmu di tanah kelahiranmu itu dengan baik, bahkan dengan lebih baik dan lebih baik lagi....”

     Barangkali aku boleh meminta kau datang ke negaraku, Malaysia. Berkunjunglah ke negeriku, Negeri di Bawah Bayu. Aku akan pimpin kau mendaki Gunung Kinabalu. Kau akan berasa bangga dapat menguasai puncak yang paling tinggi di Asia Tenggara ini. Atau, aku dapat membawa kau ke Poring Hot Spring. Engkau tahukah Yenko bahawa tempat itu dibuka oleh bangsamu pada zaman Perang Dunia Kedua? Atau, lebih sukakah engkau jika kau kubawa ke Pulau Manukan, ke Pulau Mamutik, ke Pulu Sapi? Dan, aha! Bulan apakah sekarang? Mei! Bulan Mei ialah bulan yang ditunggu-tunggu oleh masyarakat negeri ini, khususnya oleh orang-orang Kadazandusun. Apa yang istimewa dengan bulan Mei?

     Pesta Kaamatan. Pernahkah kau mendengar nama pesta itu? Kita dapat mengunjungi pesta ini dan menyaksikan sendiri bagaimana penduduk di sini meraikannya. Mungkin kau akan terpesona dengan pangkis Bobolian semasa acara magavau.  Barangkali juga tersenyum membalas senyum Unduk Ngadau dalam acara kemuncak pesta ini: Pertandingan Ratu Cantik. Ah, seandainya saja engkau bumiputera di sini, sudah pasti engkau boleh ikut serta dalam pertandingan tersebut! Juga, engkau boleh kuajari lambai gemalai menari sumazau. Kita boleh menari bersama. Tidak dapat tidak,  tarian itu sedikit sebanyak pasti akan mengingatkan engkau pada kabuki, bangsawan tradisional bangsamu yang bersama kita hayati di Ginza. Masih belum lupakah engkau akan rasa hairanku kala aku engkau beritahu bahawa penari kabuki yang kusangkakan kesemuanya perempuan itu sebenarnya adalah lelaki?

    Tapai? Aku akan memperkenalkan itu kepadamu juga. Itu ialah minuman tradisi hasil daripada beras yang diperam yang sudah tentu ada pada setiap Pesta Kaamatan. Tahukah engkau yang tapai ini pun ada jenis-jenisnya, Yenko? Air tapai yang biasa ialah bauran air biasa dengan nasi tapai yang baru berusia lebih kurang seminggu. Jika tapai itu dibiarkan lebih lama, katalah sebulan, air yang timbul sendiri dari tapai itu dipanggil lihing. Jika nasi tapai itu dimasak dan diambil stimnya, airnya dinamakan montoku. Montoku ini barangkali ada sedikit persamaanya dengan minuman tradisi bangsamu, sake. Pun, harap kau tidak nakal-nakal meminta mencicipi mana-mana satu daripada minuman itu kerana aku pasti tidak akan memberikan kepadamu. Kau tahu aku ini anti minuman yang memabukkan, bukan?

      Juga, aku akan ajar kau memakan kinawa. Kau pasti berasa hairan kerana bangsaku turut mempunyai makanan tradisi daripada ikan mentah. Bagaimanapun, jika kau masih ingat, sebetulnya aku ada menceritakan kepadamu tentang kinawa ini semasa kita sedang menikmati sashimi daripada ikura di salah sebuah restoran di negaramu dulu. Apakah perkataan ‘oisidess’ akan terlafaz daripada bibir merahmu? Dan, ya, ada banyak lagi yang ingin aku hidangkan untukmu: tuhau, bosou, lomiding, bambangan.

     Dalam pada itu, aku juga boleh mengajarmu bagaimana meniup sompoton. Tidak susah memainkannya bahkan mungkin jauh lebih mudah berbanding dengan belajar memainkan samisen di kamarmu. Alun tiupan sompoton itu sama kuat asyiknya dengan alun petikan samisen yang akan akan membuat kita tak mampu terlelap sepanjang malam...

      Yenko Witowoshito-san, hampir enam ribu kilometer kutinggalkan kau. Aku akan merindui Hibiya, Yurakucho, Ginza, Nihombashi, Tsukiji yang membentuk kotamu, Tokyo! Aku akan merindui meriah jalan-jalan daerah Kanto di Tama Daruma pada setiap hari Ahad, melihat boneka daruma yang dijual di situ. Katamu, boneka daruma yang merah itu adalah lambang kebahagiaan dan good fortune. Dan ya, terlebih daripada itu, aku akan sangat merindui engkau! Engkau, Yenko Witowoshito-san! Oleh itu, tidakkah sebaiknya engkau datang? Atau, akukah yang mesti melangsaikan rindu ini dengan berangkat ke tempatmu yang kaunamakan Garden of Peace itu? Pada fikiranku, jika pada saat ini ada orang yang menyoal kepada siapa kuntum tulip tiga tangkai akan kuhulurkan, aku akan mengatakan kuntuman itu akan kuberi kepada seorang gadis Jepun bernama Yenko Witowoshito-san. Pada selirat rambut hitammu, tulip-tulip itu akan kusematkan. Ah, rambutmu: masihkah sependek rambut laki-laki sebagaimana pada saat kau kutinggalkan? Ingatkah pula engkau akan hasratku melihat kau berambut panjang? Kau kisahkan kepadaku, ibumu pernah tidak memberikan wang saku kepadamu pada pertama kali rambutmu itu kaugunting sependek itu.

     Jagalah dirimu, kesihatanmu. Itu akan kubicarakan jua kepadamu. Jika kau bertemu dengan sahabatku Anthony-san dan Kyasarin-san di tempatmu, barangkali kau boleh menyampaikan salamku buat mereka. Sudah punya cahaya matakah mereka sekarang?  Jika lelaki pasti setampan Anthony-san; jika perempuan pasti sejelita Kyasarin-san. Hanya mereka rakan kita yang bertuah; benar-benar berkahwin selepas selesai pengajian di akademi. 

       Aku berdiri, memetik jari, memanggil pelayan.

      Cebisan sejarah diri tidak akan pernah menjadi usang; akan berharga selamanya. Melangkah keluar dari Restoran Kinabalu itu dan meniti lorong bersusun bata yang basah, hatiku berkata: Ada saat-saat tertentu dalam hidup manusia akan berasa cengkaman masa lalu itu sedemikian kuat sehingga sukar melepaskan diri. Angin yang bertiup merompak sekelilingku dengan kesejukan yang digalasnya. Adakah sesejuk Tokyo? Terngiang gema sayu dari imbau masa lalu. Adakah gema itu sebenarnya adalah senandung yang terbit daripada getar runcing jemarimu yang berlari pada tali-tali samisen? Yenko Witowoshito-san, aku tahu ucapan "sayonara" yang terlafaz setahun lalu itu tidak pernah membuat aku membunuh ingatan terhadapmu. Pun, rupanya, kesan ini mengingatkan aku pada perasaan yang kugeluti ketika kita saling berpura menjauhkan diri kira-kira sebulan sebelum masaku di sana tamat. Dan pada masa itu, rakan-rakan sibuk bertanya: "Sudah kenapa dengan kamu berdua? Bergaduh?"Ceh! Mereka tidak tahu! Tidak ada yang lebih mengerti keadaan kita melainkan diri kita sendiri. Sudah terlewatkah ikhtiar menjarakkan diri?

      Gadis kecil berbibir basah, akan bertemu lagikah kita? Langadon oku dika. Aku ulangi: Langadon oku dika!

        Di langit, bulan bangkit. Pada penuhmu, mengapa aku melihat aku dan kau, Yenko? Ya, hidup ini sememangnya kalungan rosario dan peristiwa-peristiwanya adalah manik-maniknya. Tali yang menyambungkan manik-manik itu, adakah tali takdir? Tali yang menemukan kita? Tali yang menyatukan kita? Tali yang melarutkan kita? Tali yang memisahkan kita?

(Pertama kali disiarkan dalam Borneo Mail, 21 Mei 1995; DBP di Surat Khabar)

Glosari:

Konban yushoku o tabeni dekakemasen ka?- Bolehkah kita keluar makan bersama malam ini?

gaijin- orang asing

ikura-salmon roe

kabuki-sejenis pertunjukan tradisional Jepun (bangsawan-tarian)

Cupid-Dewa Asmara Romawi

Langadon oku dika- aku rindu kepadamu

Lihing- sejenis minuman keras hasil dari penapaian beras dalam jangka masa yang lama

Magavau - Salah satu bahagian penting penting dalam Pesta Kaamatan yang menjadi simbol kepada usaha mendapatkan semula yang telah hilang dengan segala kekuatan yang ada

Nausicaa - Watak dalam epik 'Odyssey' karya Homer

Odysseus - watak dalam epik 'Odyssey karya Homer

Oisidess - Sedap

Samisen - Alat muzik Jepun seperti gitar, bertali tiga

Sashimi - Ikan mentah yang dihiris halus

Sayonara - ucapan perpisahan; selamat tinggal

Trial marriage - perkahwinan percubaan

(c) WITER GUNIK

SONGGORIB

Oleh WITER GUNIK

KUBUR kecil, fikir Umbit sayu, dengan anak kecil tercinta tersemadi di dasarnya.  Rembang petang dek condong mata hari yang mula menghilang seakan ditelan oleh pepuncak bukit yang ternganga, menyerakkan nyala keemasan terakhir merayapi bumi.  Siapakah yang dapat mengerti kehilangan yang aku mamah dengan terpaksa ini?

    "Di mana?" Jelas dalam ingatan Umbit butir pertanyaan yang terucap pada petang Jumid memberitahunya akan hal yang sama sekali berada di luar perkiraannya itu.  Pandangan bodoh Jumid ke arahnya itu membuat darahnya naik.  Tangannya bergerak mencapai leher baju Jumid dan menariknya kasar, hampir bersentuhan dengan mukanya.

    "Di mana?"  Jepitan pada leher baju Jumid tambah mencekik.  Seperti baru mendengar apa yang ditanyakan, Jumid cepat-cepat menudingkan jari telunjuknya ke satu arah.

    "Di sungai?"

    Jumid mengangguk-anggukkan kepalanya.  Bibirnya seolah-olah dikunci kemas oleh tingkah Umbit yang tiba-tiba menyinga.  Suaranya bagaikan hilang ditelan oleh terkaman suara garau laki-laki tua yang biasa agak pendiam itu.

    Pegangan kejap pada leher baju Jumid pada leher baju Jumid itu dilepaskan oleh Umbit.  Oyongku!  Batinnya menjerit.  Oyongku! Oyongku! Kakinya deras dilarikan ke Sungai Liwagu, di sebelah timur rumahnya.  Bilah-bilah belahan bambu yang sedang cermat dirautnya sebagai bahan untuk dibuat wakid - yang akan dijual di tamu Ranau pada hari pertama setiap bulan itu - ditinggalkannya.  Oyongku!  Dirinya tercungap berkejar melewati pokok-pokok semalu dengan durinya yang seakan secara sengaja mengumpankan tajamnya di jalan pintas menuju ke sungai. Nafas Umbit penaka nafas kerbau jantan liar yang tidak rela untuk ditangkap. Angin kering yang kasap menyerbu menampar-nampar alam seperti tumbukan debar pada bilik-bilik jantungnya.

    Orang-orang kampung yang terlebih dahulu tiba di perdu pohon begil di pinggir sungai yang airnya tohor ditombak bisa kemarau itu, masing-masing memberi laluan kepadanya.  Oyongku! Oyongku!   Langkah Umbit bergetar ganjil.  Seperti semangatnya, tapak langkahnya semakin mengecil dan dia tiba-tiba berasakan sendi-sendi kakinya kehilangan kekuatan. Oyongku!  dia mara setapak lagi.  Ah!  Di hadapannya, tubuh kecil Oyong terbujur kaku... tanpa kepala!

    "Oyonggg!" Pandangannya berpinar nanar.  Bumi macam meluru menanduk dirinya.  Umbit tersungkur dipanah kejutan. Dia pengsan.

    Oyong dikuburkan pada petang hari berikutnya.  Di tepi kubur itu, dalam duduknya, Umbit merenung-renung:  Sudah terlalu lamakah peristiwa itu terjadi? Sudah enam hari ditinggalkan. Tapi, fikirnya lagi, setiap kali ke situ, segalanya seperti baru berlaku kelmarin.  Mata Umbit yang cengkung itu menyapu merah tanah yang ada di hujung kakinya.  Dan, hari ini adalah hari ketujuh dari hari kematian Oyong itu.  Ini bererti, malam ini juga merupakan malam terakhir bagi medtudau di rumah.

   Medtudau? Huh! Adat itu ada ketikanya dirasakan oleh Umbit sebagai lebih kepada penghinaan bagi kepedihan yang tercorak di hatinya.  Dia ingat betapa pada malam Oyong ditemui itu, mahu dia merampas dan mengoyak-ngoyakkan daun-daun terup yang menjadi bahan permainan teman-teman sekampung yang datang ke rumah, kononnya untuk berkongsi kesedihan dengannya.  Mengapa mesti, Umbit bertanya, ketawa dan sorakan judi itu dibawa ke kediamannya yang baru mengalami kematian? Jahilkah hati nurani mereka, soalnya lagi, terhadap kepahitan yang aku rasai?

    Malam ini, pada tengah malam, nyalaan api pada sumbu pelita akan dihembus, padam. Kegelapan akan dibiarkan membungkus ruang rumah.  Semua yang datang medtudau akan berdiam diri.  Kesunyian akan dibebaskan menghimpit suasana.  Semua akan menunggu kunjungan roh Oyong ke rumah kelahirannya itu.  Mungkinkah roh Oyong akan menyentuh lembut tangannya sebagaimana roh Oju, rakan sebaya Oyong yang mati kerana jatuh dari pokok kelapa dulu menyentuh tangan bapanya pada malam ketujuh hari kematiannya? Atau, apakah Oyong akan malah menjamah tangan Kumah, emaknya?  Oyong, yakin Umbit, tentulah akan menyentuh diriku lebih dahulu.  Bukankah Oyong lebih manja dengan aku?  Aku? Ya, aku, bapanya. Tapi, itu kalau aku turut sama medtudau.  Umbit teringat, kecuali pada malam hari Oyong ditemui, dia tidak pernah berada di rumah untuk medtudau.  Pun Umbit menyedari sikapnya itu tidak disenangi oleh Kumah yang menuduhnya, "... Tidak mempedulikan kematian Oyong...!" Benarkah tuduhan itu?  Sesungguhnya aku sangat mengasihi Oyong. Tapi, detik di hatinya, siapakah yang mengatakan bahawa semasa medtudau itu, aku sebagai bapa Oyong, mesti ada di rumah? Siapakah pula yang menentukan bahawa pada malam ketujuh, aku sebagai bapa Oyong harus turut sama menanti kedatangan roh Oyong itu?  Aku telah berjanji, Umbit berkata dalam hatinya, aku mahu menuntut bela atas kematian Oyong sebelum hari akhir medtudau itu tiba.  Ada hiris-hiris perasaan bersalah membayangi keberadaannya kerana kehendak itu masih belum tertunai.  belum tertunai!  Harusnya songgorib yang telah memisahkan Oyong dari ruang kehidupanku, fikir Umbit, telah aku bunuh malam tadi.  Tapi, entah sial apa, dia membentak dalam hati, songgorib yang tidak berhati perut itu seperti telah mengharamkan diri daripada menginjakkan kaki di kampung ini lagi.  Cuba kalau dia muncul, fikir Umbit geram.... Kulit rahangnya bergetar.

    Angin berhembus gemersik dari arah perbukitan yang merupakan bonggolan-bonggolan hodoh dan memagari perkampungan itu. Seekor burung bubut dengan teriakannya yang memanjang bertalu, yang muncul tiba-tiba dari balik gerigi semak, seolah-olah emngejek-ngejek kesedihannya.

    Umbit melunjurkan kakinya yang terasa pegal.  "Bapa....," ucapnya umpama kepada Oyonglah dia berbicara.  Sebak memenuhi ruang hati dan memilin perasaannya dengan jemari pilunya.  Terhenti seketika.  Dia bangkit dari duduknya.  Dia menyambung: "... Bapa harus balik sekarang, anakku.  Esok, bapamu ini akan datang lagi.  Mudah-mudahan kematianmu akan tertebus malam ini."

   Di langit, awan kemerahan tergantung jarang.  Angin yang memijar, berhembus keras menjentik resah dalam tubuh kurus laki-laki yang sederhana tinggi itu.  Seekor rama-rama bercoreng warna jingga dan sedikit hitam terbang dari hinggapnya pada tompok-tompok bunga putih yang dijulang oleh tangkai-tangkai halus rumputan yang tumbuh subur di pangkal pokok pinang yang tegak bagai galah ganjil di sebelah kiri kuburan. 

     Tempat ini, fikirnya sambil menggerakkan kaki, sejak wujud, pada siang hari menjadi tempat yang setia aku kunjungi.  Dia melangkah.  Sejak Oyong meninggal, banyak daripada waktuku habis di sini.  Lebih banyak daripada kunjunganku ke tagad.

     Ke tagad?

     Dua puluh tapak hayunan lemah kakinya dari kubur Oyong itu, dia berhenti.  Dia menoleh.  Dia teringat betapa serupanya tolehannya itu dengan palingannya kepada Oyong semasa setiap kali mereka berjalan menuju ke tagad dulu.  Juga dia masih tidak lupa bagaimana dia dengan sengaja memendekkan jarak langkahnya utnuk mengimbangkannya dengan gerakan Oyong yang tampak lucu dengan kekedekannya itu.  Oyong tentunya akan berasa gembira diajak ke tagad sekali lagi kerana sangop dan batad yang benihnya ditaburkan semasa mangasok dulu, kini sudah dapat dipetik dan dinikmati.  Atau, mungkin juga Oyong akan duduk diam di sulap sambil menikmati manisan air tebu atau membantunya menggerakkan rotan-rotan yang menjadi temali penghalau beburung rimba yang nakal dan selalu cuba mencuri butir padi yang mula menguning itu.  Renggutan pada rotan-rotan itu tentunya sedikit sebanyak akan turut mengusir tikus-tikus hutan yang juga mahu mengintip peluang membawa lari bebulir padi ke sarangnya.  Barangkali Oyong dapat disuruh untuk mengutip kodop yang tumbuh pada batang-batang kayu yang mulai mereput yang menjadi sisa jilatan api sewaktu mengurak dulu.

    Alangkah peritnya perasaan yang dilapah oleh lancip kenangan ini! Hati Umbit tambah tercarik kerana begitu kakinya memijak halaman rumah, dia tidak melihat si bocah comel yang biasanya akan terlonjak-lonjak gembira setiap kali melihatnya pulang; benar demikianlah telatah Oyong kalau tidak berkesempatan menemaninya ke tagad.  Bukankah jika Oyong ada, Oyong akan berlari menghampiri dan dengan nakalnya yang menyenangkan itu, mulutnya bising bertanyakan berat atau tidak bambu dan gelungan rotan yang sememangnya tidak pernah tertinggal setiap kali dia masuk hutan.  Oyonglah penawar bagi kepenatannya.  Dialah penghibur bagi keletihan yang meruap.  Ahh, kalau saja Oyong tidak dibunuh songgorib!

      Umbit mandi setelah berehat seketika.

    Di beranda itu, sambil mengingat dirinya yang baru mandi, Umbit menyedari bahawa biasanya dengan Oyonglah juga dia selalu mandi.  Dia melontarkan pandangannya ke sudut tenggara halaman.  Cerah siang entah di mana telah disembunyikan oelh jalaran lidah malam. Samar-samar, matanya menangkap pancuran air dari belahan bambu yang disangga oleh beberapa batang kayu bercabang.  Gemuruh bunyi air menusuk tajam ke telinganya.  Kalau hujan turun, air yang mengalir lewat belahan bambu itu akan melimpah ruah dan membentuk air terjun kecil yang memantulkan kesan pandangan yang aneh.  Di situlah Oyong selalu bermain - selain daripada di teduhan pohon kayu begil di pinggir Sungai Liwagu - yang oleh lamanya kadang-kadang membuat Umbit memarahinya.  Sungguh, kalau Oyong masih hidup, aku, fikirnya, akan membiarkan Oyong bermain air di situ sepuas hatinya.  Aduh! Alangkah sakitnya kepiluan yang bertandang ini!

     "Apakah abang akan keluar lagi?"  Kumah entah bila munculnya dari dapur bertanya kepada Umbit.  Ada curiga yang tajam pada nada suara itu. 

     Umbit membalikkan tubuhnya, menghadap Kumah.  Di  belakang Kumah, Umbit sempat terlihat kelibat Inan Biyah, salah seorang jiran terdekat yang lebih kerap ke situ sejak kematian Oyong - dekat dengan pintu dapur - yang cepat-cepat mengundurkan kepalanya seolah-olah ditarik kasar oleh seseorang dari dalam.  Inikah, kesal hati Umbit, maksud di sebalik kata-kata mahu menolong menyediakan makanan untuk orang-orang yang akan datang medtudau di situ? Ini tidak lebih daripada mencari bahan untuk dijadikan sebagai pengisi bualan.  Inan Biyah cuma datang utnuk mencerca nasib malangku!  Sudah tentu, fikirnya, sebentar lagi, pengejek-pengejek yang lain itu akan tiba.  Celaka!

     "Pembalasan itu milik Tuhan." Kumah macam mahu berkhotbah kepadanya.  "Apa lagi yang abang mahu gaduhkan?"

     Engkau, Umbit berkira-kira, sebenarnya tidak mengerti makna kehilangan Oyong itu dalam hidup kita Kumah.  Engkau cuma tahu mengulangi apa yang dilafazkan oelh Gembala Inie yang menyempurnakan tata penguburan Oyong itu.  Benarkah, seperti kata Gembala yang selalu mengyisipkan ucapan 'puji Tuhan' dalam kata-katanya itu bahawa kesengsaraan itu menimbulkan ketekunan, dan ketekunan itu menimbulkan tahan uji? Benarkah pula tahan uji itu akan menimbulkan pengharapan?

     Oyongku mati, fikir Umbit.  Dapatkah kata-kata indah itu mengembalikan Oyongku itu? Umbit meludah. "Jadi?"

      "Terima saja.  Tuhan itu adil," suara Kumah merendah sedikit. "Lagi pun abang sendiri tidak pasti songgorib mana yang buat...!"

      Kumah teringat, sejak Oyong mati, Umbit jarang berada di rumah.  Siang hari, awal-awal lagi, Umbit sudah keluar.  Ke kubur Oyong, begitu jawab Umbit apabila ditanya.  Menjelang senja, dia memandang lagi kepada Umbit yang kini kembali membiarkan matanya terpaku di halaman, baru balik.  Itu pun tidak lama.  Mandi. Makan. Berehat sekejap.  Dan kemudian pergi.  Keluar malam macam menjadi kebiasaan baru bagi Umbit.  Tidakkah Umbit berasa malu dengan sikapnya yang tidak menghargai rasa belas kawan sekampung yang datang medtudau?

     Umbit yang berdiri itu, bergerak masuk ke ruang besar rumah dan mencapai gayang dan bajunya yang tersangkut pada cabang tanduk kijang yang terpaku pada dinding. Kumah mengekori dengan mata berkaca.  Api pelita yang didudukkan di titik pusat lantai rumah membiaskan tubuh Umbit ke dinding yang sekilas kelihatan bagai bayang-bayang raksasa. Umbit memakai baju.  Umbit mengikatkan gayang berhulu bentuk kepala helang di pinggang.

      "Abang mahu keluar juga malam ini?"

     Tidak ada jawapan yang keluar daripada bibir laki-laki itu.  Umbit keluar dari ruang besar, melewati Kumah di beranda dan kemudian menuruni tangga.

     "Sudah bencikah Umbit dengan aku?"  hati Kumah berbicara sayu.  "Tidakkah Umbit terasa yang aku perlukan dia pada saat-saat yang amat menguji kesabaranku ini?"

     "Umbit...!"  Kumah melaung.  "Makan dulu."

    Sunyi.  Kumah memandang ke halaman.  Umbit seperti telah lesap menyatu dengan gelap malam.  Dekat dengan saliran air yang mengarah ke pancuran air, kelihatan beberapa semarak obor bagai terlompat-lompat.  Kumah tahu itu jiran yang mahu medtudau.  Kumah mengesat air matanya.  Orang lain tidak perlu tahu aku menangis, fikirnya.

     Malam dingin.

   Bulan yang tergantung sepi nun di  langit sana merembeskan serakan cahaya suram, membiaskan keremangan yang meresahkan.  Seperti malam-malam yang lalu, fikir Umbit, malam ini juga berpihak kepadaku.  Tiada hujan. Dia kini sedang duduk bertinggung dan membongkok sedikit di antara kayu-kayu sogiondow yang tumbuh meliar di pinggir jalan masuk ke Kampung Marakau itu.  Ini, fikirnya, tidak ubah seperti sedang mengendap pelanduk di hutan.  Perlu sabar. Perlu tahan hati.  Mata perlu dibaisakan untuk melihat kocak dalam kegelapan.  Terlelap walau cuma untuk sedetik bermakna terlepasnya sasaran yang mungkin muncul tiba-tiba.

    Sebuah kereta seperti ribut melalui tempat itu.  Pemandu berhati tikus, bisik hati Umbit. Sambil menyedari persamaan yang ada pada gerak setiap kenderaan yang melewati jalan itu - termasuk pada malam-malam yang sudah - Umbit merungut mencela: penakut-penakut! Mungkinkah si pengecut-pengeecut itu berfikir bahawa songgorib akan nekad melompat ke sisi kereta mereka dan mengait kepala mereka?  Cuba jika aku, fikir Umbit.  Biar sepuluh.  Biar dua puluh.  Aku, Umbit, menyentuh gayang yang entah beberapa kali dibelek-beleknya semasa mengasah, akan memastikan songgorib itulah yang akan mati.  Biar songgorib itu tahu sepejal mana langkah silatku.  Biar songgorib itu tahu setepat mana buah pukulanku.  Biar songgoib tahu darah yang mengalir di tubuh ini adalah darah susumangod!

    "Biar undang-undang yang tentukan!" Terngiang bantahan Kumah terhadap apa yang dilakukannya.  Undang-undang?  Benarkah undang-undang dapat menebus kematian Oyongku?  Ada orang kampung berkata yang polis ada meletakkan orang-orangnya di sekitar kampung itu.  Bohong!   Bentak hati Umbit.  Bagaimanakah untuk aku dapat percaya sedangkan belum lama ini, di radio, ada pengumuman dibuat oleh orang penting polis bahawa kengerian akibat keganasan songgorib yang dihebohkan itu sebenarnya suatu khabar angin semata?  Mahu Umbit menghempaskan radio kecil itu ke tanah.  Khabar angin?  Apakah setelah semua yang ada di sini hilang kepala, mereka baru hendak percaya? Rupanya, mengkal hatinya berkata, orang-orang kecil sepertiku harus selalu siap memikul cetusan kehancuran dari hidup secara bersendirian!

   Sepercik kata-kata yang seakan-akan dilafazkan dengan penuh hati-hati membuyarkan ingatannya yang menerawang.  Matanya dijegilkan pada jalan yang menjulur dalam gelap malam seolah-olah dengan jegilannya itu akan mengurangkan warna malam yang menyelimuti.  Nah!  Suara itu.... Suara itu terdengar lagi.  Bukankah itu kedengarannya asing?  Semakin mendekat.  Ya!  Itu mereka!  Dua orang berjalan dalam gelap.  Siapa?  Adakah susuk tubuh itu aku kenali?  Apakah gaya berjalan itu aku ketahui?  Tidak. Tidak?  Aku yakin.  Orang itu bukan orang sini.  Ceh! Umbit mencemuh. Orang asing memang selau mahu memecahkan kedamaian yang ada di sini.  Siapakah lagi yang begitu berani berjalan dalam kecoh kemaharajalelaan songgorib kalau bukan songgorib itu sendiri?

     Nampaknya, fikir Umbit, pada malam esok, aku tidak payah lagi duduk menanti munculnya songgorib di sini.  Umbit melompat.  Dia berdiri tegap tegak di hadapan dua manusia yang sekaian lama ditunggunya itu.  Betul, bisik hati Umbit, barangkali bukan songgorib ini yang telah membunuh Oyongku.  Tapi bukankah songgorib ini tetap si kejam yang tidak memiliki kesanggupan untuk memahami dan menyelami hal-hal tentang kasih sayang seorang bapa kepada anaknya?  Umbit menghunus gayangnya.

    "Oyongku!"  Terbayang kembali tubuh kecil Oyong tanpa kepala.  Gayang diangkat tingi-tinggi.

   "Polis!"  Satu suara yang trdengar penuh wibawa menjadi gema yang untuk seketika mengkakukan urat-urat tangan Umbit. "Jangan bergerak!"

     Sorotan lampu dari beberapa arah menikam diri Umbit.  Umbit memandang dua orang yang disergahnya itu dengan mata yang dipicingkan.  Sekilas senyum kecil yang terjelma pada tepi bibir salah seorang daripada mereka menumbuhkan runut curiga di hati Umbit.  Benarkah aku tersilap?  Atau, fikirnya, keadaan yang cuba menjadikan aku berperasaan seolah-olah aku telah tersilap?  Tidakkah ini suatu helah daripada songgorib untuk memerangkap mangsanya?  Benar.  Mereka cuba memerangkap aku!  Bah! Cuba! Tangan Umbit yang memegang hulu gayang itu kembali bangkit dengan pantas.

    Untuk Oyong, fikir Umbit sambil menghayunkan gayang itu ke leher songgorib yang mengukir senyum kecil tadi.  Umbit berasakan mukanya bahkan pakaian hitamnya basah dek darah yang memancut tanpa ampun daripada leher si malang.  Bau hanyir menyerbu.  Sambil memusingkan tubuhnya dengan pantas menghampiri songgorib yang seorang lagi, Umbit menguis lekuk antara bahagian buku lali dan tumit kaki songgorib tadi.  Tubuh itu tumbang dengan kepalanya terjatuh mendahului badan, menjejak permukaan tanah.  Kepala tergolek.

    "Kau juga akan roboh!"  Kepada songgorib yang lebih besar itu, Umbit mengatur tangan dan langkahnya.

     Beberapa tembakan terdengar.

    Jadi, fikir Umbit, beginikah akhirnya? Umbit meraba dadanya yang tembus dek muntahan peluru itu.  Sambil mengumpul kekuatan yang tiba-tiba merapuh, kotak fikirnya bertanya:  "Telah terbalaskah kematian Oyong?"  Umbit berusaha menapak selangkah lagi.  Songgorib yang seorang lagi itu tampak berundur.  Umbit jatuh.

    "Bawa dia ke hospital."

    Ahh, Umbit termangu, tidakkah salah yang kudengar ini?  Dia memandang orang-orang yang entah dari mana kian ramai menghampirinya.  Ke hospital?  Aku mahu dibawa ke hospital? Tidakkah kebaikan ini sangat luar biasa?  Songgoribkah yang baru kubunuh itu?  Benarkah, benaknya mengutarakan soalan, aku ini, seperti kata Kumah, selalu terburu-buru? Ludah terasa mengental, menuruni tenggoroknya yang kian menyempit.  Benarlah, dia teringat sesuatu, pembalasan itu sukar untuk dikatakan adil apabila di tangan manusia.  Ada air mata yang tertumpah dan mengalir ke pipi dari juring matanya.

    Langit bagai mendadak merendah dan menghimpit Umbit dengan ghaib punggungnya.  Kelopak mata terkatup.  Gelap.  Kepala Umbit terkulai.  Di sampingnya ialah kepala polis yang baru tewas oleh tajam mata gayangnya.

    Seseorang datang menghampiri.  Dia menjongkokkan tubuh.  Hujung jari telunjuk dan jari hantunya dirapatkan pada pangkal leher Umbit.  Kedua jari itu kemudian dilarikan ke pergelangan tangan Umbit.  Dia akhirnya mengangkat pandangan ke arah  rakannya yang bersuara berat itu.  Dia menggelengkan kepala.

    "Songgorib ini sudah mati, Tuan."

    (Pertama kali disiarkan di Borneo Mail, 16 Februari 1992)

(c) WITER GUNIK

PENA MAGIS: PRAKATA UNTUK PARA PEMBACA

SAYA mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak akhbar Borneo Mail, majalah Dewan Sastera, Perpustakaan Negeri Sabah, Jawatan Kuasa Formula Malaysia, dan pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (Cawangan Sabah dan Kuala Lumpur) kerana terlibat dalam penerbitan pertama cerpen-cerpen dalam antologi maya ini. Dalam pengkaryaan saya sebenarnya bermula dengan bakat alam yang saya terokai dengan percubaan demi percubaan. Hanya semasa di UPM (1998-2001), saya sempat bertemu dan menimba ilmu daripada Pak Dharmawijaya, Hizairi Othman dan Lim Swee Tin. Apapun, saya bersyukur sebab saya amat yakin dan percaya, Sang Pencipta telah menentukan pada garis tangan saya bahawa saya memang penulis. 

    Antologi maya ini lebih kepada satu usaha mengumpulkan semula karya-karya lama saya sebagai satu pendokumentasian dan (barangkali) sebagai satu nostalgia indah tentang dunia seorang penulis. Sebagai kunang-kunang kerdil dalam ujana kesusasteraan, saya bukan seorang yang produktif berkarya namun saya berusaha supaya sentiasa berhati-hati dalam perkara yang saya tulis. Setiap perkataan dan tanda baca mempunyai 'roh' yang berbeza bagi saya. Saya sangat cerewet memilih perkataan dan barangkali sebab itu (serta disebabkan kekangan masa!) beberapa buah draf karya yang kononnya hampir siap, masih tersimpan begitu sahaja. 

    Mudah-mudahan Tuan-tuan, Puan-puan,  para pencinta sastera, rakan atau pelajar, akan lebih mengenal keresahan, kesunyian, kasar-halus pandangan peribadi dan buah fikiran saya lewat karya-karya ini. Bukan semua daripada cerpen dalam koleksi 'masa lalu' ini saya gemari; ada yang kalau saya baca dalam penilaian saya sebagai 'lelaki tua' kini, hanya menimbulkan perasaan geli. Romantik? Lucu! Dari satu segi, mudah-mudahan antologi maya ini saya harapkan dapat menyemarakkan kembali semangat saya untuk menulis. Benar, menyibak kabut kesibukan untuk menulis memang meletihkan dan penuh kesunyian namun aneh, keletihan dan penuh kesunyian itu berbaloi dengan deraan kegembiraan melihat aksara demi aksara menuju titik akhir dalam sesebuah karya. 

    Saya ingin katakan, daya kreativiti saya masih seperkasa dahulu, tidak pernah tumpul dan tepu. Percayalah, saya masih berjiwa penulis kerana urat sastera yang menjaringi diri saya tetap tegar dan segar. Benar, saya mungkin kunang-kunang kerdil dalam ujana kesusasteraan tanah air namun saya akan pastikan cahaya kecil yang saya miliki itu mampu menjadi suluh kemanusiaan kita. 

    Selamat membaca dan mendalami kemanusiaan.

Salam sastera,

WITER GUNIK

Post Scritum: Jika anda selesa dengan stail penulisan saya dan mahu membaca buah pena saya  yang lain, sila bersabar.... Saya dalam proses menaip karya-karya itu semula sebelum saya muat naik pada blog ini.  Perlu saya nyatakan di sini bahawa koleksi karya dalam blog ini hanyalah rekaan semata-mata. Sebarang persamaan nama tempat, atau nama watak, jika ada, hanya satu kebetulan. Terima kasih.